KOTA
KINABALU 29 Okt. - Dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan
prasekolah, kerajaan menyasarkan kesemua guru taman bimbingan
kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh
negara memiliki diploma menjelang 2015.
Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal
berkata, setakat ini seramai kira-kira 2,000 daripada 9,824 guru Tabika
Kemas telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma.
"Dalam
hubungan ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk
mempastikan tenaga guru kita dapat ditingkatkan keupayaannya. Jadi untuk
murid-murid tabika mendapat ilmu pengetahuan mencukupi, kita perlu
mempunyai tenaga guru berkebolehan dan berkeupayaan," katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah
Wisma Majlis Ugama Islam (MUIS) di sini hari ini.
Turut
hadir Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd. Amin dan Pengarah
Kemas Negeri, Anisah Saidin. Pada majlis itu, seramai 94 warga kerja
Kemas Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
Menurutnya,
pada masa ini guru-guru Tabika Kemas dihantar menjalani kursus dalam
cuti di institusi perguruan di seluruh negara. Dalam pada itu beliau
berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pendidikan prasekolah kementerian
itu telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.
"Pada
tahun ini sasaran 9,816 kelas Tabika Kemas telah berjaya dicapai sejak
Julai lalu dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang. Selain
itu, menjelang 2015 kesemua guru-guru tabika dijangka bergred S27,"
ujarnya.
No comments:
Post a Comment